KUALA LUMPUR — Pertubuhan Skuad Bakti Malaysia (PSBM) terus memperkukuh peranannya dalam aktiviti kebajikan dengan menyalurkan bantuan secara konsisten kepada golongan memerlukan di seluruh negara, termasuk ke peringkat serantau ASEAN.
Sejak bermulanya pandemik, PSBM telah berjaya melaksanakan lebih daripada 530 program kebajikan yang memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Inisiatif tersebut merangkumi bantuan makanan, pakaian serta sumbangan infak kepada golongan asnaf dan anak yatim.
Antara program terbaharu yang dilaksanakan termasuk perkhidmatan gunting rambut percuma di sekolah-sekolah, khususnya di kawasan Rantau Panjang, Kelantan. Selain itu, pertubuhan tersebut turut mengagihkan pakaian serta bantuan kewangan kepada penduduk setempat yang memerlukan.
Menurut kenyataan PSBM, semua sumbangan yang diterima daripada para penderma, termasuk individu perseorangan, telah diagihkan secara telus dan menyeluruh tanpa mengira masa, lokasi serta latar belakang penerima.
“Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada semua penderma yang telah memberikan mandat dan kepercayaan kepada PSBM untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” menurut kenyataan itu.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, PSBM menegaskan komitmennya untuk terus aktif menjalankan aktiviti kebajikan tanpa mengira situasi, sama ada ketika bencana mahupun dalam keadaan aman.
Dalam masa yang sama, penghargaan turut diberikan kepada seluruh kepimpinan dan sukarelawan termasuk pengerusi negeri, pengerusi daerah serta ahli-ahli yang telah berganding bahu menjayakan setiap program di negeri masing-masing.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Skuad Bakti Malaysia (PSBM), Dato Seri Ramle Bin Mat Daly yang juga Naib Presiden World Peace Organisation ASEAN (WPO), menyampaikan ucapan sempena Aidilfitri kepada seluruh umat Islam.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya, Dato Seri Ramle Bin Mat Daly, Presiden Pertubuhan Skuad Bakti Malaysia (PSBM) merangkap Naib Presiden World Peace Organisation ASEAN (WPO), mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1447H, maaf zahir dan batin kepada semua yang mengenali saya serta seluruh umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia.
“Semoga Aidilfitri ini mengeratkan silaturahim sesama insan serta kita semua dikurniakan kesihatan yang baik untuk meraikannya bersama keluarga tercinta,” katanya.**
(RWR)








